Institusi muzium merupakan salah satu agensi tertua diwujudkan di negara ini. Sehingga kini, terdapat pelbagai jenis muzium yang ditubuhkan kerajaan, institusi pengajian tinggi, perbadanan dan agensi-agensi swasta.
Sungguhpun pada dasarnya, muzium-muzium di negara ini beroperasi dan berfungsi dengan baik seiring dengan amalan konsep permuziuman sejagat, namun perkembangan dan perubahan pesat yang berlaku dalam pelbagai bidang keilmuan dan teknologi sewajarnya dimanafaatkan oleh institusi-institusi muzium negara ini.
Diploma Eksekutif Muziologi (DEM) ini disediakan untuk memberi panduan dan pendedahan ke arah mempertingkatkan lagi tahap profesionalisme para penyokong dunia permuziuman negara ini.
Modul-modul yang dibangunkan dalam kurikulum DEM adalah keperluan-keperluan asas yang perlu wujud di dalam sesebuah institusi muzium dengan mengambil kira perkembangan isu-isu semasa yang dihadapi dunia permuziuman sejagat.